Powered By

Powered by Permaya

Thursday, August 16, 2007

Peluang Hanya Sekali

Allah SWT telah mengurniakan kepada manusia nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Cuba kita fikirkan tentang nikmat penglihatan, pendengaran dan juga akal yang dianugerahkan yang tidak ternilai harganya. Bagi sesiapa yang mahu mengetahui nilai nikmat-nikmat yang disebutkan tadi dengan melalui cara yang cukup mudah. Bandingkan kita yang mempunyai akal dengan orang gila, secara automatic kita akan mengetahui nikmat akal dan begitulah seterusnya.

Sekali sekala, aku teringat ceramah-ceramah yang aku pernah dengar daripada Syeikh Abdul Majid Azzindani - semoga Allah menjaga beliau – yang membincangkan tentang keimanan terhadap Allah, tuhan yang menciptakan segala makhluk dan juga keimaman kepada Nabi Muhammad yang merupakan utusan daripada Tuhan pencipta alam. Itulah yang sering disebut dan ditekankan dalam sesi ceramah beliau.

Tanpa iman, manusia ibarat sebuah roket yang dilancarkan ke angkasa tetapi terputus hubungan dengan pusat kawalan di bumi. Apakah yang akan berlaku kepada roket tersebut? Sudah pasti ia akan hilang arah tujuan dan akhirnya akan menjunam jatuh ke bumi hancur berkecai mengakibatkan kemusnahan. Manusia yang terputus hubungan dengan Allah SWT, natijahnya adalah lebih bahaya daripada roket tersebut. Mereka akan rugi diazab oleh Allah di dalam neraka selama-lamanya. Jadi, tiada kebaikan yang paling besar jika hendak dibandingkan dengan syurga Allah dan tiada kerugian yang paling teruk jika dibandingkan dengan azab neraka.

Manusia yang beriman, hati mereka terpaut dengan janji-janji Allah di akhirat. Mereka memandang remeh musibah-musibah yang berlaku di dunia kerana mereka yakin tentang hari akhirat yang merupakan tempat dibalas segala amalan yang dilakukan di dunia. Iman menjadikan mereka reda kepada ketentuan Allah SWT. Seberat mana musibah yang ditanggung di dunia, akhirnya ia akan berakhir dengan kematian. Tetapi, jika musibah menimpa manusia di akhirat, ia adalah suatu yang teramat malang kerana akhirat tiada kesudahan. Oleh yang demikian itu, orang yang bijak tidak akan menukar nikmat yang akan hilang dengan nikmat yang kekal abadi. Mereka tidak akan akan mengutamakan nikmat dunia dengan nikmat akhirat. Dengan kata lain, mereka tidak akan menukar nikmat syurga di akhirat dengan kesenangan-kesengan dunia yang hanya bersifat sementara.

Inilah yang telah berlaku di dalam generasi para sahabat. Mereka sangat yakin bahawa destinasi sebenar adalah alam akhirat yang kekal abadi. Lalu kita melihat generasi ini saling kasih mengasihi, bantu membantu di antara satu sama lain dalam perjalanan menuju akhirat. Orang yang beriman diibaratkan satu jasad yang saling lengkap melengkapi sebagaimana mafhum hadith Rasulullah SAW. Sifat-sifat terpuji dan syaksiah yang tinggi ini lahir daripada keimanan mereka kepada Allah Tuhan pencipta yang telah menurunkan hidayah petunjuk melalui utusan Nya yang terakhir iaitu Nabi Muhammad SAW.

Islam sebagai cara hidup yang merupakan petunjuk daripada Allah Tuhan yang telah menciptakan manusia telah dibuktikan keberkesanannya di dalam meluruskan kehidupan manusia sebagaimana yang telah berlaku dalam generasi para sahabat dengan petunjuk Quran dan Sunnah. Allah SWT telah menciptakan manusia dan Dia Maha Mengetahui tentang selok belok manusia. Pencipta adalah yang paling tahu dan faham tentang suatu ciptaanya. Sebagai contoh, jika kita sakit kita akan segera berjumpa doctor kerana kita tahu doctor adalah orang yang paling tahu tentang penyakit. Kita tidak akan berjumpa dengan mekanik untuk mengenal pasti penyakit yang menyerang kita. Jadi, jika manusia rosak, maka tempat rujukan kita adalah hidayah Allah SWT dan rasul Nya yang tekah menyampaikan hidayah tersebut. Lihatlah kepada sejarah para sahabat, kita akan dapati Nabi Muhammad SAW adalah orang yang paling berjaya melahirkan satu generasi unggul melalui petunjuk dan hidayah daripada Allah SWT yang terkandung di dalam Quran dan Sunnah.

Persoalannya sekarang, kenapa manusia tidak mahu kembali kepada hidayah Tuhannya yang terbukti berkesan? Jawapan kepada soalan ini adalah berkaitan dengan iman mereka kepada Allah dan Rasul. Keyakinan mereka kepada janji-janji Allah dan Rasul semakin pudar dan berkurang. Di sini, terserlah peri pentingnya pembuktian tentang kebenaran Islam yang merupakan hidayah Allah dan Rasul. Nabi Muhammad ketika mana di utuskan oleh Allah SWT dalam bangsa arab jahiliyyah telah mengemukan hujah dan bukti melalui mukjizat sebagai tanda baginda adalah benar-benar utusan Allah dan risalah yang dibawa adalah benar. Melalui mukjizat, dapat dibezakan di antara nabi yang benar dan orang yang mendakwa dirinya sebagai nabi atau pun nabi palsu. Nabi Muhammad SAW telah membina keimanan para sahabat dengan dizahirkan mukjizat-mukjizat ini di hadapa mereka. Oleh itu, Allah SWT telah mengutuskan rasul-rasul Nya dengan mukjizat-mukjizat untuk mengahadapi pendustaan manusia.

Apakah bentuk mukjizat Nabi Muhammad SAW untuk manusia yang berada di zaman moden dan canggih ini yang membuktikan kebenaran Islam? Kita tahu bahawa Nabi Muhammad SAW diutuskan kepada manusia keseluruhannya sehingga ke hari kiamat. Ini bermakna, mukjizat baginda juga yang merupakan bukti kukuh tentang kebenaran Islam akan kekal sehingga ke hari kiamat. Adakah kita berpeluang untuk menyaksikannya? Jika mukjizat ini terbukti, maka tiada alas an lagi untuk manusia lari mengelakkan diri daripada memperhambakan diri kepada Allah dengan mengikut ajaran Islam. Mukjizat tersebut akan membuktikan agama Islam adalah agama seorang manusia yang bernama saintis, angkasawan, doctor, peguam, pemimpin sebagaimana ia adalah agama kepada penoreh getah, peladang kelapa sawit, penyapu sampah, yang melibatkan manusia secara umumnya.

Ingatlah, selagi manusia bernama manusia, tugas kita di bumi dalam tempoh kehidupan yang singkat ini adalah untuk memperhambakan diri kepada Allah SWT melalui ajaran Islam. Fikirkanlah dengan sebaik-baiknya selagi peluang masih terbuka. Masa terus berjalan dan kita akan kehilangan peluang ini selama-lamanya ketika kematian menjelma. Wallahu A’lam.