Powered By

Powered by Permaya

Wednesday, April 9, 2008

Kefahaman Mudah Tentang Keimanan

Bagaimana kita mengetahui bahawa Allah SWT itu wujud?

Sesungguhnya tumbuhan, haiwan, lautan, bukit-bukau, dan manusia, yang kita lihat pada alam yang kecil ini, sama ada yang hidup ataupun yang mati dan yang tidak mampu untuk kita melihatnya, itu semua adalah bukti yang jelas pada ciptaan Allah SWT.
Begitu juga dengan timbangan, peraturan, dan ciptaan yang begitu agung yang ada di seluruh alam ini, adalah bukti-bukti menunjukkan wujudnya Pencipta. Ilmu-Nya meliputi semua perkara dan ciptaan-Nya yang terbaik. Allah mempunyai hikmah dan mempunyai pengetahuan yang meliputi seluruhnya.

Sesungguhnya kita mengetahui adanya Allah ‘Azzawajalla daripada semua peraturan yang diciptakan-Nya dan sifat-Nya yang sempurna yang talah menjadikan segala alam yang wujud sama ada hidup ataupun mati. Dan telah disebut di dalam Al-Quran:

Yang bermaksudnya: (Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan - (mu) - dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan? Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia)). [Al-Mulk:3-4]

Bagaimana untuk kita mengenal Allah SWT?

Semua yang kita lihat dan saksi pada alam semesta, itu semua adalah tanda daripada tanda-tanda Allah SWT itu Maha Agung. Yang tidak terhingga dan penyaksian pada kekuatan-Nya dan keagongan-Nya. Dan telah datang Al-Quran keluasan ilmunya dengan sifat Allah Azzawajalla. Al-Quran ialah kitab yang diutuskan untuk memandu manusia kepada jalan yang benar (huda). Al-Quran telah menukilkan kepada kita tentang sifat-sifat Allah SWT yang maha Agung. Hikmat-Nya, Pengetahuan-Nya, belas kasihan-Nya, rahmat-Nya, keadilan-Nya, pedegaran-Nya dan pandangan-Nya pada semua perkara.

Firman Allah SWT maksudnya: ( Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata; Dia lah Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Dia lah Allah, yang tidak ada Tuhan melainkan Dia; Yang Menguasai (sekalian alam); Yang Maha Suci; Yang Maha Selamat Sejahtera (dari segala kekurangan); Yang Maha Melimpahkan Keamanan; Yang Maha Pengawal serta Pengawas; Yang Maha Kuasa; Yang Maha Kuat (menundukkan segala-galanya); Yang Melengkapi segala KebesaranNya. Maha Suci Allah dari segala yang mereka sekutukan denganNya. Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.) [Al-Hasyr:22-24]

Apa yang dikehendaki pada ciptaan kita?

Allah SWT telah memberitakan tentang apa yang dikehendaki pada ciptaan-Nya sebagaimana firman Allah di dalam kitab suci Al-Quran:
Bermaksud: (“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku”) [Adz-Dzaariyaat: 56]

Sebagaimana ayat di atas, tujuan daripada penciptaan manusia di atas muka bumi ini ialah untuk beribadat (memperhambakan diri) kepada Allah SWT, untuk mencari keredhaan-Nya, melalui segala percubaan (imtihan) dan juga ujian yang telah menjadi sunah kehidupan di atas muka bumi ini.

Kenapa kita diuji di dalam kehidupan?

Ujian yang diberi oleh Allah SWT kepada manusia di dalam kehidupan ini adalah untuk membezakan di antara orang yang beriman dengan orang yang tidak beriman. Membezakan di antara perkara buruk dengan perkara baik, dan untuk mengetahui siapakah di kalangan orang Mukmin yang lebih afdal amalannya. Justeru, sesungguhnya tidak memadai jika seseorang itu hanya berkata “aku beriman kepada Allah SWT”.

Kehidupan manusia semestinya kepada Allah SWT, beriman kepada-Nya, dan sentiasa berpegang kepada Agama Allah SWT dengan sebenar-benarnya. Agama yang padanya penuh dengan ujian serta onak dan ranjau.

Untuk mencapai keikhlasan dalam kehidupan pengabdian kepada Allah SWT, tidak dapat tidak seseorang itu haruslah bermujahadah dalam menghadapi pancaroba dunia serta segala mehnahnya. Sebagaimana yang telah dijelaskan mengenai hakikat ini di dalam firman Allah SWT:

Yang bermaksud: (“Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat”) [Al-Mulk: 2]

Bagaimana kita mahu menjadi hamba kepada Allah SWT?

Sesungguhnya manusia adalah hamba kepada Allah SWT, iaitu asas kehidupan yang sempurna adalah untuk mencari keredhaan Allah SWT. Maka dengan ini di dalam setiap sembahyang dan amalan yang soleh, adalah semata-mata untuk mencapai keredhaan daripada Allah SWT dan menjadi seorang hamba yang sentiasa gerun (takut kepada-Nya).
Dengan yang demikian, setiap hamba sentiasa takut dan gerun pada Allah SWT dalam setiap fikirannya, percakapannya, amalannya, dan setiap gerak-gerinya. Itulah yang di kehendaki oleh yang maha Pencipta.

Allah SWT telah memberi amaran bahawa manusia adalah hamba kepada Allah SWT, maka perhambaan ini hendaklah merangkumi seluruh kehidupan.

Sebagaimana firman-Nya yg berِmaksud: Katakanlah: "Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. [Al An'aam.162]

Kenapa agama itu penting pada kita?

Sesungguhnya tidak dapat tidak, setiap manusia yang beriman kepada Allah SWT pertama sekali hendaklah dia mengetahui tentang penciptanya dan perkara-perkara yang diredhai oleh penciptanya, maka roh manusia akan meratap ketika tuannya tidak tahu akan (tujuan) ciptaannya. Dia (Allah) yang menjadikan kehidupan bagi manusia, makan, minum, kesihatan, dan kesempurnaan. Dengan yang demikian wajib ke atas manusia menjadikan seluruh kehidupannya agar menurut segala perintah Allah SWT dan mengharap keredhaan daripada-Nya.

Maka agama menunjukkan kepada kita jalan dalam setiap pergerakan, tempat, akhlak, dan jalan kehidupan yang diredhai oleh Allah ‘azzawajalla. Allah SWT telah meyakinkan kita pada firman-Nya bahawa sesungguhnya orang-orang yang menjadikan agama yang benar sebagai pegangannya adalah merupakan mereka yang diberi petunjuk, dan orang-orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai ikutan mereka itu adalah mereka yang sesat firman Allah SWT.

Yang bermaksud: Jika demikian, adakah orang yang telah dilapangkan Allah dadanya untuk menerima Islam, lalu dia tetap berada dalam cahaya (hidayah petunjuk) dari Tuhannya, (sama seperti orang yang tertutup mata hatinya dengan selaput kederhakaan)? Maka kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya, adalah dalam kesesatan yang nyata. [Az-Zumar.22]